LUAR NEGARA

Duta Afrika Selatan ke Perancis ditemukan mati, tinggal nota bunuh diri

PARIS – Duta Besar Afrika Selatan ke Perancis, Nkosinathi Emmanuel Mthethwa ditemukan mati di sebuah hotel mewah di sini semalam selepas dipercayai terjun dari tingkat 22, menurut pejabat pendakwa raya Perancis.

Mayat beliau ditemukan seorang pengawal keselamatan di kawasan halaman Hotel Hyatt Regency yang terletak di barat Paris, tempat Mthethwa menginap, memetik laporan Reuters.

Pihak penyiasat mengesahkan bahawa beliau meninggalkan nota bunuh diri kepada isterinya sebelum kejadian.

Hotel Hyatt Regency di Paris yang menjadi lokasi mayat Mthethwa ditemui.

Menurut pendakwa raya, isteri Mthethwa membuat laporan kehilangan pada Isnin lalu selepas menerima pesanan mesej daripada suaminya yang memohon maaf serta menyatakan hasrat menamatkan riwayat hidupnya.

Pemeriksaan awal di bilik hotel mendapati tingkap keselamatan telah diumpil menggunakan gunting yang ditemui di lokasi, namun tiada tanda pergelutan, pengambilan ubat-ubatan atau narkotik dikesan.

Siasatan awal mengesahkan kematian itu berkemungkinan tindakan disengajakan tanpa campur tangan pihak ketiga.

Kementerian Hal Ehwal Luar Afrika Selatan dalam kenyataan mengesahkan insiden tersebut dan menyifatkan Mthethwa sebagai seorang tokoh yang berjasa besar kepada negara.

“Duta Mthethwa adalah seorang penjawat negara yang terbilang dengan rekod perkhidmatan berdedikasi dalam portfolio kementerian yang penting. Kehilangan beliau adalah satu kehilangan negara,” kata kenyataan itu.

Mthethwa, 67, sebelum ini pernah menyandang jawatan Menteri Seni dan Budaya Afrika Selatan dari 2014 hingga 2019.

Beliau kemudiannya mengetuai portfolio yang merangkumi seni, budaya dan sukan dari 2019 hingga 2023 sebelum dilantik sebagai duta ke Perancis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button