BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Ekonomi jingga diterima sebagai sektor pemangkin baharu dalam RMK13 – Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA– Kerajaan memberi komitmen untuk memperkasa ekonomi jingga seperti filem, muzik, animasi dan kandungan digital sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimasukkan dalam dokumen akhir RMK13 hasil intervensi Kementerian Komunikasi dalam sesi libat urus bersama Kementerian Ekonomi.

“Bagi Kementerian Komunikasi, antara input akhir yang dikemukakan ialah pengiktirafan kepada sektor ekonomi jingga dan ekonomi kreatif iaitu sebagai sektor yang sedang membangun dan berpotensi tinggi untuk menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi hari ini.

Menurut Fahmi, Kementerian Ekonomi menerima dan menyambut baik cadangan tersebut, sekali gus memasukkannya dalam dokumen RMK13 sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan ekonomi negara yang lebih inklusif.

“Proses libat urus yang menyeluruh itu telah meyakinkan Kementerian Ekonomi tentang kepentingan sektor ekonomi jingga. Ia satu kejayaan dalam memastikan suara industri kreatif diberi perhatian dalam dasar nasional,” katanya.

Tambah beliau, perincian manfaat dan pelaksanaan program di bawah sektor ekonomi jingga akan dijelaskan dalam pembentangan Belanjawan MADANI 2026 yang dijadual berlangsung pada Jumaat ketiga Oktober ini.

Fahmi turut memaklumkan, agensi seperti FINAS dan MyCreative Ventures akan memainkan peranan penting bagi memastikan pelaksanaan inisiatif ekonomi jingga berjalan lancar dan memberi impak terus kepada penggiat industri tempatan.

“Saya terima baik komitmen FINAS dan MyCreative Ventures dalam membantu menjayakan agenda ekonomi kreatif sepanjang tempoh pelaksanaan RMK13,” jelasnya.

Ekonomi jingga merujuk kepada sektor yang berkait rapat dengan kreativiti, budaya, seni dan inovasi digital, yang kini diiktiraf secara rasmi sebagai salah satu sektor strategik dalam pembangunan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button