
Elak jadi lokasi lari bayar cukai, kerajaan digesa maksimumkan potensi Labuan
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk mempertingkatkan kualiti persekitaran kehidupan di Labuan supaya potensi dan peluang di Wilayah Persekutuan itu dapat dimaksimumkan sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir dan juga Hab Kewangan Islam Malaysia.
Menurut Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Hisamudin Yahaya berkata, jika keadaan tidak kondusif, pelabur tidak akan melabur dan mungkin hanya menggunakan Labuan sebagai cara untuk lari daripada cukai.
“Sebagai contoh, ada sahaja syarikat yang mendaftarkan syarikat dengan alamat di Labuan untuk mendapatkan kelebihan insentif cukai, namun segala operasi dan pengurusannya berada di Kuala Lumpur.
“Akhirnya, segala usaha penambahbaikan kerajaan seperti pemindaan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan tidak akan berjaya secara optimum. Kesannya, rakyat dan penduduk Labuan tidak akan menikmati hasil daripada usaha dan insentif kerajaan,” katanya ketika membahaskan RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan di Dewan Negara hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut bertanyakan mengenai pelan jangka panjang kerajaan dalam menangani masalah kenaikan harga barang dan kos sara hidup rakyat di Labuan.
Beliau berkata, ini kerana harga makanan, minuman dan barangan keperluan seharian sangat tinggi berbanding di Sabah atau pun di Kuala Lumpur.
Pada masa sama, beliau turut membangkitkan mengenai isu pengangguran di Labuan yang tinggi iaitu 7.2 peratus, jauh lebih tinggi daripada paras pengangguran nasional yang berada pada kadar tiga peratus sahaja.
“J ika kita hendak membandingkan demografi ekonomipenduduk antara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, tersangatlah jauh bezanya. Menurut Jabatan Statistik Malaysia, median gaji tahun 2022 bagi warga Kuala Lumpur adalah sebanyak RM 10,324.00, bagi warga Putrajaya
pula ialah RM 10,056.00, namun bagi warga Labuan pula hanya RM6904.00, perbezaan antara 30 hingga 40 peratus.
“Dengan pengisytiharan Labuan sebagai Pulau Bebas Cukai pada 1 September 1956 dan Pusat Kewangan Antarabangsa pada tahun 1990, namun menurut Statistik Tahunan Tenaga Buruh Malaysia 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Labuan mencatatkan 7.2 peratus kadar pengangguran, jauh lebih tinggi daripada paras pengangguran nasional yang berada pada kadar tiga peratus sahaja.
“Ini belum lagi mengambil kira ribuan peluang pekerjaan yang tersedia di Labuan adalah daripada syarikat minyak dan gas, Asean Supply Base yang merupakan anak syarikat Sabah Energy Corporation Berhad, sebuah inisiatif kerajaan negeri Sabah. Sekiranya kerajaan negeri Sabah mengeluarkan Asean Supply Base ini daripada Labuan, kadar pengangguran dijangka akan meningkat jauh lebih tinggi,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












