BERITA SEMASA

Epal, oren dikecualikan daripada SST – PM

PUTRAJAYA – Buah epal dan oren yang diimport dikecualikan daripada peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Julai ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan semalam.

“Masih ada rakyat mengeluh, katanya orang kampung atau golongan miskin juga ingin makan epal. Dia kata orang dahulu pernah berkata, ‘an apple a day keeps the doctor away, tetapi itu tidak tepat.

“Sebenarnya, pisanglah yang lebih baik kerana kandungan potasiumnya yang tinggi.

“Jadi, semalam kita putuskan untuk memberi kelonggaran terhadap cukai import buah-buahan. Meskipun terdapat sedikit cukai, namun pengecualian diberikan kepada epal dan oren,” katanya semasa berucap pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota Madani di Presint 19, di sini hari ini.

Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan semakan bersasar terhadap kadar Cukai Jualan serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang dijadualkan bermula pada 1 Julai ini.

Bagaimanapun, kadar cukai jualan bagi barangan keperluan kekal tidak berubah, manakala kadar antara lima hingga 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan tidak penting bergantung kepada budi bicara kerajaan.

Dalam pada itu, peluasan skop cukai perkhidmatan turut meliputi enam perkhidmatan baharu iaitu penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button