Fadhlina tinjau inisiatif pendidikan luar bandar menerusi TSP di Limbang
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memastikan inisiatif pendidikan luar bandar yang memberi fokus kepada pemerkasaan digital, inovasi serta kesejahteraan murid dilaksana dengan berkesan.
Jaminan itu dinyatakan Menterinya, Fadhlina Sidek yang dalam lawatan tiga hari mengikuti Program Tindak Susul Parlimen (TSP) Siri 1 Tahun 2026 di Limbang, Sarawak.
Pada program tersebut, Fadhlina turut mengambil kesempatan menyantuni warga sekolah dan komuniti setempat selain melihat sendiri pelaksanaan beberapa strategi pendidikan di kawasan berkenaan.
“Antara pengisian utama ialah lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Limbang bagi meninjau pelaksanaan Strategi 1: Sekolah Model Pembelajaran Digital Luar Bandar (SIMPEL) yang menampilkan demonstrasi DELIMa Edge, pameran robotik dan penggunaan Gemini AI sebagai rakan pembelajaran Bahasa Inggeris,” menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM) di Facebook malam tadi.

Pada kunjungan itu, Fadhlina turut melawat SK Bandar Limbang bagi memantau Strategi 3: Peluasan Inklusif Prasekolah (PIPS) yang melibatkan pembangunan blok prasekolah baharu serta pembinaan surau sekolah.
Selain itu, lawatan ke SK Kuala Penganan di bawah Strategi 4: Solusi Isu Pendidikan Parlimen (SIPP) memberi fokus kepada isu infrastruktur sekolah termasuk keselamatan pagar dan kebajikan kuarters guru.
Fadhlina turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai, papan pintar, tablet pembelajaran, buku, alat tulis, bantuan persekolahan serta bekas makanan hasil kerjasama beberapa agensi dan syarikat korporat.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas serta Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












