Fatwa di Selangor ditetapkan melalui proses teratur, teliti – Sultan Selangor
SHAH ALAM – Penetapan sesuatu fatwa di Selangor tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya melalui prosedur tersusun yang berlandaskan penelitian rapi daripada pelbagai pihak berkepakaran.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, pengeluaran fatwa perlu melalui proses teratur yang mengambil kira pelbagai sudut pandangan, khususnya daripada Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor serta pakar-pakar dalam bidang hukum syarak.
Antara prosedur yang digariskan bagi mengeluarkan sesuatu fatwa adalah melalui pengumpulan data yang lengkap, penyediaan maklumat menyeluruh serta gambaran tepat mengenai isu yang dibincangkan.
“Satu Muzakarah Pakar akan diadakan bagi merungkai sesuatu isu itu secara tuntas, dengan dihadiri alim ulama, ahli akademik dan pihak-pihak berkaitan isu berkenaan, di samping pembabitan pegawai-pegawai badan berautoriti.
“Sekiranya belum mendapat resolusi mantap, satu Bahtsul Masail (perbahasan isu) akan diadakan, dan ia adalah perbincangan dalam skala lebih kecil bagi merungkaikan suatu perkara rumit dengan lebih terperinci dan halus,” menurut satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor semalam.
Baca juga : Sultan Selangor titah elak spekulasi, tuduhan negatif isu pelantikan badan kehakiman
Jelas kenyataan itu lagi, hasil daripada perbincangan tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa berdasarkan peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Seksyen 48(2).
Dalam mesyuarat berkenaan, setiap hasil kajian akan dibentangkan secara ilmiah dengan wujudnya perbincangan dua hala antara penyelidik dan ahli jawatankuasa.
“Sighah (penyataan) fatwa yang sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa akan disemak dan diharmonikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengharmonian Fatwa sebelum diangkat ke Mesyuarat Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mempertimbang teliti fatwa yang dicadangkan, seterusnya membuat syor kepada Sultan Selangor untuk mewartakan sesuatu fatwa.
“Jika Sultan Selangor memberi perkenan untuk pewartaan sesuatu fatwa, fatwa itu akan dimaklumkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Fatwa yang sudah dimaklumkan ini kemudian akan disemak oleh Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor sebelum ia disiarkan dalam Warta Kerajaan Selangor,” menurut kenyataan berkenaan lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












