BERITA SEMASAPOLITIK

Hadi Awang beri bayangan sedia pertahan jawatan Presiden PAS

MARANG – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi bayangan akan terus menerajui kepimpinan parti itu apabila menyatakan kesediaan untuk terus berkhidmat sehingga ke penghujung usia.

Abdul Hadi yang memegang jawatan Presiden PAS sejak tahun 2003 berkata, beliau masih berada dalam keadaan sihat dan tidak berhasrat untuk melepaskan amanah yang dipikulnya dalam masa terdekat.

“Saya kalau boleh, nak mati dalam bertugas. Saya sihat… alhamdulillah masih sihat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian secara ringkas ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu dijangka akan mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan Muktamar Tahunan PAS ke-71 yang dijadual berlangsung pada 11 hingga 16 September ini di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar.

Difahamkan, muktamar berkenaan turut melibatkan pemilihan bagi beberapa jawatan utama dalam parti termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden serta Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi turut memaklumkan bahawa satu mesyuarat Perikatan Nasional (PN) akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi gabungan tersebut bersama parti-parti komponen lain.

“Ia bukan hak PAS sahaja… akan dibincangkan dengan parti-parti lain dalam PN,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button