BERITA SEMASADALAM NEGERI

Idea PAS mahu jumpa Trump ketika ASEAN dianggap ‘merepek’ – Rafizi

PETALING JAYA – Cadangan PAS untuk mengatur pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur hujung bulan ini disindir sebagai ‘tidak masuk akal’ oleh Rafizi Ramli.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, tidak ada jaminan Trump berminat melayan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, malah perkara itu hanya menampakkan parti berkenaan sekadar mahu memancing sokongan politik dalaman.

“Saya rasa PAS dan Takiyuddin hanya mahu tunjuk pada penyokong. Malah kedutaan AS sendiri mungkin ketawa baca berita ini,” katanya dalam siaran podcast.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menegaskan, ahli politik kerap mengeluarkan kenyataan hanya untuk menyedapkan hati penyokong, walaupun kedengaran “merepek”.

Rabu lalu, Takiyuddin menyatakan kesediaan PAS untuk bertemu Trump, selain merancang mengadakan protes sempena lawatan presiden AS terbabit.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan jemputan kepada Trump dengan menegaskan Malaysia kekal lantang menyokong Palestin, namun pada masa sama perlu menggunakan saluran diplomatik demi kepentingan negara, khususnya dalam sektor eksport teknologi tinggi.

Dalam perkembangan lain, Rafizi turut menyindir pertelingkahan pemimpin Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai sekadar drama politik.

“Hari ini kawan, esok bergaduh, lusa baik balik. Kita tengok sajalah, sediakan popcorn,” katanya berseloroh.

Beliau juga menyindir tindakan Wan Saiful yang kembali mengungkit isu video intim dikaitkan Azmin, dengan berkata ia sekurang-kurangnya akan ‘menceriakan’ gelanggang politik untuk beberapa bulan mendatang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button