PAS ulangi hasrat bergabung semula dengan UMNO – Abdul Hadi
KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak menolak kemungkinan parti itu akan kembali menjalinkan kerjasama dengan UMNO pada masa akan datang dalam usaha untuk membentuk kerajaan baharu.
Katanya, medan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bukan sekadar pertarungan biasa, sebaliknya menjadi ujian sebenar kekuatan dan keupayaan Perikatan Nasional (PN) untuk terus mara sebagai kuasa politik yang berpengaruh.
“Ayer Kuning merupakan medan untuk menguji kita. Jika kita menang, kerusi kita akan bertambah dan Perikatan Nasional juga akan semakin kukuh.
“Sekiranya kita bernasib baik, UMNO bergabung dengan kita dan kerajaan boleh ditukar. Ia bukan sesuatu yang mustahil,” kata Ahli Parlimen Marang itu dalam satu kenyataan di Facebooknya semalam.
Kenyataan itu memetik ucapan beliau semasa Ceramah Mega PRK Ayer Kuning, sehari sebelumnya.
Menurut Abdul Hadi, PAS sentiasa bersikap terbuka untuk sebarang kemungkinan politik selagi ia tidak lari daripada landasan prinsip perjuangan Islam serta membawa manfaat kepada rakyat dan negara.
“Namun, jika perkara itu tidak berlaku, kita akan terus menjadi pembangkang yang lebih kuat dengan kerusi yang lebih banyak,” tegasnya.
Mengulas soal calon, Abdul Hadi mengingatkan para pengundi supaya tidak tersilap membuat pilihan dan memilih calon yang benar-benar mampu melaksanakan tanggungjawab, bukan sekadar menjadi wakil rakyat tanpa suara di Dewan Undangan Negeri.
“Kita perlu memilih calon yang berwibawa, yang mampu melaksanakan kewajipan amar makruf nahi mungkar, bukan calon yang diam dan tidak mampu bersuara dengan tegas di Dewan,” ujarnya.
Dalam nada puitis beliau menyelitkan pantun;
Buah salak buah kedondong,
Dikumpul diletak dalam baldi,
Bukan salah ibu mengandung,
Tapi salah pangkah undi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












