BERITA SEMASA

Imigresen serbu flat usang sarang warga asing

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu sebuah flat usang di Jalan Haji Hussein, Chow Kit, di sini awal pagi tadi dan berjaya menahan seramai 124 pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, tindakan penguatkuasaan itu dibuat menerusi Ops Kutip, susulan laporan awam berhubung kebanjiran PATI di kawasan itu.

Secara keseluruhan, katanya, seramai 250 individu diperiksa, dan daripada jumlah itu, 124 warga asing disyaki PATI diberkas dalam operasi yang bermula pukul 1 pagi tadi dan berakhir beberapa jam kemudian, lapor Buletin TV3.

Menurutnya, tangkapan terdiri daripada 84 warga Indonesia, Bangladesh (17 orang), Myanmar (dua), Nepal (empat), Pakistan (14), dan India (tiga).

“Sasaran operasi ini adalah berdasarkan aduan awam berikutan kebanjiran pendatang asing di kawasan ini yang menimbulkan ketidakselesaan kepada rakyat dan masyarakat setempat.

“Bangunan ini dalam keadaan tidak selesa, kotor, serta dipenuhi sampah-sarap yang mungkin menjejaskan kesihatan awam.

“Keadaan dalam bangunan ini sangat kotor dengan rumah yang dihuni oleh warga asing secara bersesak-sesak,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi, pagi tadi.

Walaupun dikenakan sewa yang agak mahal, premis yang tidak terurus itu mendapat permintaan tinggi daripada pekerja warga asing yang rata-rata bekerja sebagai pembantu kedai, pembantu restoran, pekerja pembersihan hotel dan penjaga kedai telefon di kawasan sekitar.

Beliau berkata, satu unit rumah yang mempunyai lima bilik yang diubahsuai, didiami sehingga 23 orang dengan kadar sewaan antara RM800 hingga RM2,200 sebulan.

Serbuan dijalankan oleh 50 pegawai dan anggota JIM Kuala Lumpur dengan bantuan 30 pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Kesemua PATI ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button