Insiden gurauan melampau: Pelajar, bapa enggan teruskan tindakan undang-undang
MIRI – Pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang terlibat dalam insiden gurauan melampau menyerupai perbuatan buli yang menjadi tular baru-baru ini tidak mahu meneruskan tindakan undang-undang.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, polis sebenarnya sudah membuka kertas siasatan berhubung insiden berkenaan, namun bapa pelajar lelaki itu juga menyatakan pendirian sama untuk tidak meneruskan tindakan perundangan.
“Kami menerima laporan polis mengenai kes berkenaan dengan mangsa sendiri tampil membuat laporan dan kita juga sudah memanggil semua pihak yang terbabit, termasuk ibu bapa dan kawan-kawannya untuk siasatan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan sebagai berkata, polis akan membuka kertas siasatan jika ada laporan rasmi atau terdapat unsur jenayah dalam insiden itu yang tular di media sosial.
Rakaman video berdurasi 13 saat itu memaparkan sekumpulan pelatih lelaki mengangkat seorang rakan mereka dalam keadaan kaki terkangkang dan menghentaknya ke tiang, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai kemungkinan ia kes buli.
Mancha berkata, polis turut menghantar mangsa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan hasilnya mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal pada pelajar terbabit.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian ini lebih kepada gurauan yang keterlaluan dan mangsa serta bapanya menyatakan tidak mahu meneruskan tindakan undang-undang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










