BERITA SEMASA

Jadikan buah tempatan pelengkap juadah Aidilfitri – Mohamad Sabu

PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan masyarakat agar tidak melupakan pengambilan buah-buahan tempatan di sebalik kemeriahan juadah tradisi Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, hidangan seperti rendang, lemang, ketupat dan pelbagai kuih-muih sememangnya menjadi tarikan utama sepanjang Syawal, namun keseimbangan pemakanan perlu diberi perhatian bagi menjaga kesihatan.

Menurutnya, buah-buahan tempatan bukan sahaja segar dan enak, malah kaya dengan pelbagai khasiat yang membantu tubuh kekal cergas sepanjang musim perayaan.

“Sebagai contoh, pisang sesuai untuk membekalkan tenaga segera, manakala betik membantu melancarkan sistem pencernaan selepas menikmati hidangan berat.

“Selain itu, buah-buahan seperti rambutan, manggis dan belimbing turut menyumbang kepada pengukuhan sistem imun badan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Tambah beliau, mangga pula merupakan pilihan baik untuk menjaga kesihatan mata dan kulit, menjadikan buah tempatan sebagai pelengkap penting dalam diet harian.

Dalam masa sama, Mohamad menyeru orang ramai supaya mengamalkan pengambilan buah-buahan ketika berkunjung dari rumah ke rumah sepanjang Syawal, sekali gus menyokong industri pertanian tempatan.

“Sambil kita beraya dan menziarahi sanak saudara, jangan lupa selitkan buah-buahan dalam hidangan harian.

“Ia bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah membantu meningkatkan permintaan terhadap hasil tempatan,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa usaha menyokong petani tempatan adalah penting dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara terus kukuh.

“Raya tetap meriah, badan pun kekal sihat dan cergas,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button