Projek jalan dan jambatan baharu Jerantut-Lipis siap awal, legakan penduduk
LIPIS – Projek pembinaan jalan dan jambatan baharu yang menghubungkan daerah Jerantut dan Lipis siap lebih awal daripada jadual asal pertengahan September dan telah dibuka kepada orang ramai sejak 31 Ogos lalu, memberikan kelegaan besar kepada penduduk setempat.
Projek berkenaan diselia oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bertindak sebagai agensi pelaksana, manakala Menang Idaman Sdn Bhd (MISB) dilantik sebagai kontraktor utama.
Pengarah MISB, Mohd Tarmizi Mohd Zuki, berkata pihaknya berdepan beberapa cabaran sepanjang pembinaan termasuk jambatan sementara yang runtuh akibat bencana alam, namun syarikat tetap komited menyiapkan projek itu lebih awal daripada jadual.
“Kami mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan jambatan sebenar lebih kukuh, selamat dan memberi manfaat kepada orang ramai dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pembinaan jalan dan jambatan itu menghubungkan empat kampung iaitu Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kampung Gemunchur dan Kampung Mela, Kuala Lipis, menjadikan perhubungan antara dua daerah ini lebih lancar dan selamat.
Mohd Tatmizi berkata, projek tersebut mampu memendekkan jarak perjalanan daripada 60 kilometer kepada hanya 17 kilometer, dengan masa perjalanan kini hanya sekitar 15 minit berbanding satu jam sebelum ini.
“Projek ini bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan penduduk malah memudahkan urusan harian mereka untuk ke sekolah, hospital serta tempat kerja,” katanya lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gemunchur, Roslan Idris berkata, kemudahan itu membawa perubahan besar kepada kehidupan penduduk luar bandar.
“Kami amat bersyukur kerana laluan baharu ini bukan sahaja memudahkan pergerakan tetapi turut merapatkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dengan bandar,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Batu Balak, Mohd Johari Umar, menyifatkan projek tersebut sebagai pemangkin kepada peningkatan ekonomi setempat.
“Apabila laluan perhubungan baik, lebih banyak peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi dapat diwujudkan, termasuk dalam bidang pelancongan desa serta perkhidmatan logistik,” ujarnya lagi.
Projek yang telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut berpotensi menjadi laluan strategik pelancongan yang menghubungkan Taman Negara Kuala Tahan dengan Cameron Highlands melalui Kuala Lipis.
Pembinaan projek itu bukan sekadar menambah baik kemudahan asas, tetapi turut membuka ruang baharu kepada pembangunan sosioekonomi dan pelancongan di kawasan pedalaman Pahang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












