BERITA SEMASA

Tugu misteri di Lenggeng cetus kebimbangan penduduk

SEREMBAN – Penduduk di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng digemparkan dengan kehadiran sebuah tugu misteri yang dibina di atas sebidang tanah berhampiran kawasan perumahan mereka.

Tugu bersaiz sederhana itu dipercayai dibina baru-baru ini tanpa pengetahuan penduduk dan kini menjadi tanda tanya mengenai tujuan sebenar pembinaannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, beliau menerima aduan daripada beberapa penduduk pada Rabu yang melahirkan rasa gusar terhadap struktur berkenaan.

“Penduduk meluahkan kebimbangan tentang kewujudan batu tugu itu. Walaupun saiznya tidak besar, pembinaannya dianggap tidak sesuai di kawasan perumahan.

“Timbul persoalan mengapa lokasi ini yang dipilih?” memetik laporan Sinar Harian.

Mohd Asna turut berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk tindakan lanjut dan difahamkan notis merobohkan struktur berkenaan sudah dikeluarkan.

“Pihaknya masih belum memperoleh maklumat tepat mengenai tujuan sebenar tugu itu didirikan, namun menegaskan siasatan sedang dijalankan.

“Saya dimaklumkan semalam (Rabu) terdapat sebuah bas menurunkan ramai penumpang di kawasan berkenaan, namun tujuan kehadiran mereka masih belum dapat dipastikan,” katanya lagi.

Jelas beliau, sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau ketegangan dalam kalangan masyarakat perlu dielakkan.

“Saya berharap penduduk bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button