BERITA SEMASALUAR NEGARA

Jika AS tidak bertindak, China dan Rusia akan ambil alih Greenland – Trump

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran bahawa Greenland akan dikuasai China atau Rusia sekiranya Washington gagal bertindak sambil mengulangi ancaman untuk mengambil alih pulau strategik di Artik itu sama ada melalui ‘cara mudah atau cara sukar’.

Trump berkata, campur tangan AS kini menjadi keperluan keselamatan negara dan tidak boleh ditangguhkan, sambil menolak kedaulatan Denmark ke atas wilayah autonomi berkenaan.

“Kita akan melakukan sesuatu terhadap Greenland, sama ada mereka suka atau tidak. Jika kita tidak bertindak, Rusia atau China akan mengambil alih Greenland,” katanya ketika berucap pada mesyuarat di White House bersama eksekutif-eksekutif industri minyak dan gas.

Menurut Trump, AS tidak akan membenarkan kuasa pesaingnya menjadi jiran strategik di wilayah Artik.

“Kami tidak akan membenarkan Rusia atau China menguasai Greenland. Itu yang akan berlaku jika kita tidak bertindak,” katanya.

Bagaimanapun, Trump berkata beliau masih terbuka untuk mencapai perjanjian dengan Denmark dan pihak berkuasa Greenland namun menegaskan penggunaan kekerasan kekal sebagai pilihan.

“Saya mahu membuat perjanjian, cara yang mudah. Tetapi jika tidak boleh dilakukan secara mudah, kita akan lakukan secara sukar,” katanya.

Kenyataan itu disifatkan sebagai antara pendirian paling tegas Trump setakat ini sekali gus mencetuskan kebimbangan Denmark dan sekutu Eropah mengenai masa depan Greenland serta kestabilan keselamatan NATO.

Greenland kekal sebagai wilayah autonomi di bawah Kerajaan Denmark, namun memiliki kepentingan strategik tinggi kepada AS berikutan kedudukannya di Artik serta kekayaan sumber mineral.

Ancaman terbaharu Trump itu turut dilihat selari dengan pendekatan agresif Washington kebelakangan ini yang didakwa untuk mengekang pengaruh China dan Rusia di kawasan strategik dunia, termasuk di Venezuela dan rantau Artik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button