BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak lapan tahun maut akibat Influenza A

KLANG – Seorang murid Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Jalan Tap, di sini meninggal dunia akibat jangkitan Influenza A, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Syeikhu Azrin, 8, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi, pada 16 Oktober lalu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam kenyataan hari ini mengesahkan kematian kanak-kanak itu dan memaklumkan hasil saringan menunjukkan mangsa positif influenza.

Menurut JKNS, siasatan awal mendapati mangsa mula mengalami simptom demam, batuk dan cirit-birit pada 14 Oktober sebelum keadaannya semakin lemah dua hari kemudian.

“Pada awal pagi 16 Oktober, mangsa tidak sedarkan diri lalu dibawa ke sebuah klinik swasta berhampiran dalam keadaan tidak bernafas serta tiada tanda vital.

“Pasukan perubatan di klinik berkenaan menjalankan bantuan kecemasan (CPR) sebelum menghubungi ambulans untuk rawatan lanjut di HTAR. Namun, pesakit disahkan meninggal dunia sejurus tiba,” katanya.

Tambah kenyataan itu, ujian saringan influenza dilakukan oleh pihak klinik atas permintaan keluarga dan hasilnya menunjukkan keputusan positif.

JKNS menjelaskan, tiada bedah siasat dijalankan memandangkan tiada arahan daripada pihak polis.

“Penentuan punca kematian sebenar hanya dapat dipastikan selepas penilaian menyeluruh dibuat termasuk melalui sejarah klinikal serta perbincangan di peringkat Jawatankuasa Mortaliti,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button