Wanita warga asing maut dikelar di asrama pekerja
NILAI – Seorang pekerja wanita warga asing ditemukan maut dengan kesan kelar di leher di tangga tingkat empat sebuah asrama pekerja asing di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, susulan kejadian itu, pihaknya sedang mengenal pasti dan mengesan suspek serta saksi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
“Pada 11.21 malam kelmarin, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menerima panggilan menerusi MERS 999 daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian itu.
“Pengadu memaklumkan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 30-an ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di tangga tingkat empat asrama berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan kelar di bahagian leher sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, pemeriksaan forensik oleh Bahagian Siasatan Forensik (D10) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan mendapati terdapat kesan kelar berulang pada leher mangsa dipercayai menggunakan senjata tajam.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek juga sedang dikesan.
“Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur konflik peribadi atau kewangan berdasarkan keterangan awal yang diperoleh,” ujarnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Nilai di talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara profesional serta menyeluruh,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










