BERITA SEMASA

KDN perketat pertukaran pegawai di pos sempadan

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertingkatkan pertukaran pegawai di pos sempadan bagi memastikan keselamatan lebih terjamin dan operasi berjalan lancar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, amalan pertukaran pegawai sedia ada perlu diperbaiki kerana masih terdapat pegawai yang bertugas terlalu lama di posisi sama.

Beliau berkata, langkah itu susulan penahanan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang disyaki terlibat dalam insiden tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) di Bukit Kayu Hitam, bulan lalu.

“Ini adalah amalan sedia ada, tetapi pelaksanaannya perlu dipertingkat. Pegawai yang terlalu lama di posisi sama boleh menjejaskan keselamatan,” memetik NST online.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek yang berusia 30-an ditahan pada 5 Mac lalu dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai hubungan dengan ahli sindiket yang dipercayai terbabit dalam kejadian.

“Suspek juga didapati positif ketamin, tetapi tidak ditahan atas kes dadah. Koperal berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tamat,” katanya lagi.

Kejadian berlaku pada 25 Feb apabila dua lelaki menaiki motosikal melepaskan dua das tembakan ke arah Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M. Nasir berhampiran Masjid Al Muhajirin, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Nasaruddin terselamat tanpa kecederaan.

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Ditingkatkan) 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat membunuh atau mencederakan.

Saifuddin berkata, kementerian akan mengambil semua langkah perlu bagi memperkukuh keselamatan di sempadan dan memastikan operasi di pos kawalan berjalan lancar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button