BERITA SEMASA

Elak emosi urus isu Rohingya, keselamatan negara tidak boleh dikompromi – Saifuddin

PUTRAJAYA – Kerajaan perlu mengimbangi aspek keselamatan dan kemanusiaan dalam menguruskan isu pelarian di negara ini, termasuk membabitkan etnik Rohingya, namun tidak akan sesekali berkompromi dalam perkara yang menyentuh keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau memahami sentimen rakyat yang semakin kuat berhubung pengurusan pelarian, namun isu berkenaan tidak boleh ditangani berdasarkan emosi semata-mata.

“Situasi yang dihadapi pelarian Rohingya perlu dilihat dalam konteks kemanusiaan selepas mereka berdepan pelbagai bentuk penindasan di negara asal.

“Kita ada konteks kita dan perlu mengimbangi antara keselamatan dan kemanusiaan. Jika mereka mempunyai pilihan, adakah mereka akan datang ke sini ketika kampung halaman mereka dibakar, wanita mereka dirogol, identiti diri tidak diberikan dan masjid dimusnahkan?

“Dalam keadaan itu, apa pilihan yang mereka ada? Mereka sanggup meredah lautan luas dan Malaysia menjadi antara destinasi pilihan mereka. Ini bukan isu yang berlaku dua atau tiga tahun lalu, sebaliknya isu legasi yang perlu diuruskan dengan baik,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks Setia Perkasa, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, kerajaan tidak boleh berpeluk tubuh dan mengharapkan keadaan berubah dengan sendirinya tanpa sebarang tindakan yang terancang.

“Dalam menguruskan permasalahan ini, pertimbangan yang jelas perlu dibuat, namun kita tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan sama sekali,” katanya lagi.

Sebelum itu, media melaporkan petisyen yang menggesa pelarian etnik Rohingya dihantar pulang atau ditempatkan semula di negara ketiga berjaya mengumpul lebih 195,000 tandatangan setakat Khamis lalu.

Petisyen yang dilancarkan oleh akaun ‘Aku Anak Malaysia’ pada 29 Mei lalu itu turut menyasarkan sejuta tandatangan dan mendesak penyelesaian alternatif bagi menangani kebanjiran pelarian etnik berkenaan.

Penganjur petisyen berkenaan mendakwa peningkatan jumlah pelarian Rohingya memberi tekanan terhadap sumber, infrastruktur serta perkhidmatan sosial negara.

Sementara itu, ketika sidang media selepas majlis berkenaan, Saifuddin berkata, Jabatan Imigresen Malaysia akan memperhebat penguatkuasaan terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Beliau berkata, tindakan itu susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya kementerian dan agensi berkaitan mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti perniagaan haram oleh warga asing serta penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.

“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Akta Imigresen. Namun jika membabitkan lesen dan premis perniagaan, ia berada di bawah bidang kuasa agensi kawal selia yang berkaitan.

“Sebab itu Perdana Menteri mengarahkan tindakan bersepadu dilaksanakan segera tanpa sebarang penangguhan. Itulah keputusan Kabinet,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button