Tentera Darat tidak tolak kemungkinan kematian anggota komando disebabkan peralatan digunakan tamat tempoh
LENGGONG – Siasatan terhadap insiden kematian seorang anggota komando ketika latihan di Kuantan, Pahang baru-baru ini berkemungkinan berpunca daripada penggunaan peralatan melebihi tempoh ditetapkan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, dapatan awal siasatan yang sedang dijalankan menunjukkan peralatan yang terbabit mungkin melebihi jangka hayat operasi yang optimum.
“Kami sedang meneliti kes ini. Berdasarkan penemuan awal, terdapat isu berkaitan peralatan yang digunakan, yang agak usang”.
“Kami sedang menjalankan semakan dan audit menyeluruh untuk menentukan sama ada insiden itu berpunca daripada kesilapan manusia atau kegagalan peralatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas upacara penutup Eksesais Keris Strike 2025, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 3 Julai lalu, Koperal Mohd Haswansir Julnasir, 30, dari Kumpulan Gerak Khas (GGK) yang bertugas di Rejimen Ke-22, terbabit dalam Latihan Seaghost Siri 1/2025.
Allahyarham bagaimanapun dilaporkan hilang ketika menjalankan latihan menyelam menggunakan alat pernafasan litar tertutup (CCBA) di Pelabuhan Dock pada pukul 12.15 tengah hari.
Jasad Allahyarham kemudiannya ditemukan terdampar di tebing berbatu kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, dua hari kemudian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










