BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Kementerian Komunikasi lancar bahan promosi HKHM

PUTRAJAYA – Reka bentuk rasmi bahan promosi sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 bertemakan Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni dilancarkan hari ini bagi kegunaan seluruh negara.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bahan promosi tersebut boleh dimuat turun menerusi portal rasmi www.merdeka360.my dan digalakkan untuk digunakan secara meluas olehagensi kerajaan, pihak swasta dan orang awam bagi mempergiat kempen sambutan nasional berkenaan.

“Sukacita saya maklumkan bahawa Jawatankuasa Media dan Publisiti HKHM 2025 telah menyediakan bahan promosi rasmi bagi sambutan tahun ini dengan tema ‘Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni’,” katanya pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Menurut beliau, penyediaan awal bahan promosi itu merupakan antara langkah proaktif kerajaan dalam memastikan kelangsungan dan kelancaran penganjuran HKHM dilaksanakan secara menyeluruh, inklusif dan teratur.

“Kita menjemput semua rakan media dan sektor swasta untuk bersama-sama menggunakan reka bentuk ini dalam bahan promosi masing-masing. Penyelarasan visual dan mesej amat penting bagi mewujudkan identiti sambutan di peringkat kebangsaan,” ujar beliau.

Fahmi turut menegaskan bahawa sambutan kali ini akan terus memperkukuh nilai-nilai Malaysia MADANI melalui penglibatan menyeluruh masyarakat pelbagai kaum serta penganjuran program yang mengangkat semangat kenegaraan dan perpaduan.

Sambutan HKHM 2025 dijangka menyaksikan pelbagai acara utama yang berlangsung di peringkat negeri dan persekutuan, termasuk perarakan rasmi, konsert patriotik, serta aktiviti yang melibatkan generasi muda dan komuniti setempat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button