Keputusan Titah Adendum kes Najib diketahui esok
KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan menjalani baki hukuman pemenjaraan di rumah dijangka diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini esok.
Permohonan berhubung keputusan Titah Adendum itu akan disampaikan oleh Hakim Alice Loke Yee Ching, yang sebelum ini telah mendengar hujahan daripada semua pihak terlibat, memetik laporan Kosmo! Online.
Sekiranya permohonan tersebut dibenarkan, Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan akan menjalani baki hukuman penjaranya di kediamannya di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun jika mahkamah menolak permohonan berkenaan, beliau perlu terus menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Permohonan semakan kehakiman itu berkait dengan pelaksanaan Titah Adendum yang didakwa membenarkan hukuman pemenjaraan dijalankan di rumah, susulan sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM50 juta terhadap Najib selepas beliau didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Terdahulu, pihak pembelaan Najib dalam satu sidang akhbar menegaskan bahawa sekiranya semakan kehakiman itu dibenarkan, bekas Perdana Menteri tersebut akan serta-merta menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, pelaksanaan itu akan dibuat serta-merta sekiranya mahkamah mengeluarkan perintah sedemikian.
Untuk rekod, keputusan berhubung permohonan itu sepatutnya ditetapkan pada 5 Januari depan namun diawalkan ke esok selepas firma guaman Shafee & Co mengemukakan permohonan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi agar tarikh keputusan dibawa lebih awal, tertakluk kepada ketersediaan dan budi bicara hakim.
Dalam permohonan semakan kehakiman tersebut, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara relif yang dipohon ialah perintah supaya semua atau mana-mana responden mengemukakan salinan titah utama Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadap Najib.
Najib turut memohon supaya, sekiranya Titah Adendum itu wujud, semua atau mana-mana responden diarahkan melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman pemenjaraan di rumah.
Pada Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan agar semakan kehakiman berhubung Titah Adendum itu dipercepatkan pendengarannya di Mahkamah Tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











