BERITA SEMASA

Kerajaan teliti sistem peluru berpandu alternatif ganti NSM Norway

KOTA TINGGI – Kerajaan sedang meneliti sistem peluru berpandu keluaran syarikat beberapa buah negara bagi menggantikan perolehan Naval Strike Missil (NSM) dari Norway.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara syarikat yang sedang diteliti termasuklah dari negara Itali, Perancis, Turki, Korea, Amerika Syarikat (AS) termasuk Jepun.

Beliau menjelaskan, aspek integrasi selain harga yang ditawarkan syarikat-syarikat berkenaan turut diteliti sebelum sesuatu keputusan dibuat.

“Katakanlah negara-negara itu dah ada peluru berpandu dan sedang dalam ‘production’, kemudian integrasi boleh dibuat, jadi itu sangat sesuai tetapi kena juga tengok pada harga.

“Kita tidak boleh nak tempah baharu kerana akan perlu menunggu lama, itu tak boleh. Kita mahu yang sedang dalam ‘production’,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang, di sini hari ini.

Mohamed Khaled kemudiannya menjelaskan, Malaysia akan melihat sama ada bekalan berkenaan telah tersedia terlebih dahulu bagi memastikan tempoh menunggu tidak menunggu tidak terlalu lama.

“Peluru berpandu ini perlu ditempah, tetapi masalahnya tempahan baharu mengambil masa empat hingga lima tahun untuk siap. Mungkin AS tengah buat untuk kapal-kapal dia, Itali juga tengah buat, jadi kalau ada saya nak minta dulu.

“Jadi kapal yang kita akan dapat Disember ini akan ada sistem peluru berpandu ‘surface to surface’. Peluru yang mampu tembak jarak jauhnya 300 kilometer, itu yang kita nak,” katanya lagi.

Beliau seterusnya memberitahu, tindakan tuntutan dan saman terhadap syarikat Norway berkenaan, Kongsberg akan diteruskan atas kegagalan mereka mematuhi kontrak.

“(Norway mohon maaf) Maaf, maaflah tetapi tuntutan tetap kita buat. Saman tetap saman, saman pada syarikat itu. Tetapi jika Norway betul-betul mahu jaga persahabatan dengan Malaysia, dia boleh bantu dan dahulukan tuntutan wang lebih RM1 bilion.

“Kos peluru berpandu itu lebih RM600 juta, kemudian kos-kos tidak langsung lain seperti latihan, integrasi sistem dan lain lain. Semua itu melibatkan kos, jadi siapa yang akan tanggung disebabkan kegagalan mereka,” katanya lagi.

Terdahulu, proses perolehan NSM terjejas apabila Norway sebelum menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button