JENAYAH & MAHKAMAH

Kes bunuh 2 beranak: Polis tahan 3 warga asing termasuk disyaki dalang, suami mangsa dibebas

BUKIT MERTAJAM – Tiga lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian bunuh, membabitkan seorang wanita yang ditemukan maut bersama anak perempuannya di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru di sini, pada Sabtu.

Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mereka ditahan secara berasingan hari ini iaitu dua lelaki di Kulim, Kedah dan seorang lagi di Selangor dipercayai cuba melarikan diri.

“Semua mereka yang berusia 30-an hingga 40-an itu, mengenali antara satu sama lain dan polis akan membawa mereka ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok bagi mendapatkan perintah reman ke atas semua suspek tersebut.

“Siasatan lanjut kes itu masih dijalankan dan polis percaya penahanan tiga lelaki tersebut akan dapat membantu siasatan kes bunuh membabitkan dua beranak berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Azizee berkata suami mangsa yang berusia 57 tahun juga akan dibawa ke mahkamah sama esok dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya tamat esok.

Difahamkan seorang daripada tiga lelaki yang ditahan itu merupakan suspek utama kes bunuh tersebut.

Media pada Sabtu lepas melaporkan mayat wanita dan anak perempuannya itu ditemukan dalam keadaan menyayat hati di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan.

Azizee dilaporkan berkata mayat wanita berusia 51 tahun yang merupakan peniaga kuih dan anaknya berusia 11 tahun ditemukan suaminya yang pulang ke rumah kira-kira 7.30 malam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ekoran kejadian itu, polis telah menahan reman suami wanita terbabit yang berusia 57 tahun selama seminggu hingga 25 Oktober bagi membantu siasatan.

Polis kemudiannya menahan dua lagi lelaki termasuk seorang warga Bangladesh bagi membantu siasatan dan mereka direman tujuh hari sehingga 26 Oktober ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button