BERITA SEMASA

Ketua Pengarah Kastam dilantik KSU NRES dalam rombakan perkhidmatan awam

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan rombakan melibatkan beberapa jawatan kanan perkhidmatan awam termasuk pertukaran Ketua Pengarah Kastam sebagai sebahagian usaha memperkukuh pentadbiran sektor awam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin yang kini menjawat jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Menurutnya, jawatan Ketua Pengarah JKDM pula akan diambil alih oleh Datuk Amran Ahmad yang ketika ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Beliau berkata, rombakan yang membabitkan enam pegawai kanan perkhidmatan awam itu akan berkuat kuasa pada 9 Mac ini.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad yang kini Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan bertukar ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Ketua Setiausaha.

Jawatan Ketua Setiausaha MOSTI pula akan diambil alih oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Dr K. Nagulendran.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail dilantik sebagai Ketua Setiausaha KBS.

Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis pula akan disandang oleh Datuk Noor Azman Abdul Rahman yang ketika ini berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Sumber Manusia di KKM.

Shamsul Azri berkata, perubahan tersebut mencerminkan keperluan untuk meningkatkan kecekapan dan keanjalan perkhidmatan awam selaras dengan usaha reformasi sektor awam.

“Pelantikan ini juga bertujuan mengukuhkan kerjasama antara agensi serta meningkatkan keberkesanan penyampaian dasar kerajaan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button