KPKT kenal pasti potensi kerjasama Malaysia- Hong Kong dalam inovasi perumahan
KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti beberapa bidang berpotensi melalui kerjasama strategik dengan Hong Kong dalam usaha memperkukuh inovasi serta teknologi perumahan pada masa depan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kerjasama itu penting bagi mempercepat pembangunan ekosistem perumahan mampan dan berteknologi tinggi, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menyediakan sejuta rumah mampu milik menjelang 2035.
“Malaysia terbuka untuk mempelajari amalan terbaik global dan meneroka inovasi baharu dari Hong Kong serta negara lain,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Inovasi dan Teknologi Perumahan 2025 yang diadakan di Bangunan Rekreasi dan Budaya Sham Shui Po, Hong Kong, semalam.
Kor Ming yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat, menegaskan bahawa cabaran perumahan seperti perubahan iklim, kekurangan sumber dan kemampuan memiliki rumah merupakan isu sejagat yang memerlukan penyelesaian bersama.
Katanya, antara bidang utama kerjasama yang dikenal pasti antara Malaysia dan Hong Kong termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D); perkongsian rantaian bekalan; perkongsian data dan inisiatif pembaharuan bandar.
“Melalui (R&D), tumpuan kita adalah kepada teknologi pembinaan pintar, analisis data bagi iklim tropika dan inovasi bahan binaan menerusi projek rintis di Malaysia,” kata Kor Ming.

Beliau berkata, perkongsian rantaian bekalan juga antara fokus utama, dengan tujuan menggabungkan kepakaran teknologi Hong Kong bersama keupayaan pembuatan Malaysia bagi mewujudkan ekosistem serantau yang kukuh dalam penghasilan bahan serta komponen perumahan.
“Selain itu, perkongsian data besar (big data) antara kedua-dua negara akan dibangunkan bagi menilai prestasi bangunan dan merangka piawaian kelestarian yang sesuai dengan iklim tropika dan sub-tropika,” ujarnya.
Tambahnya lagi, inisiatif pembaharuan bandar turut dikenal pasti sebagai bidang kerjasama penting, dengan Malaysia berhasrat memanfaatkan pengalaman luas Hong Kong dalam projek pemulihan, penjanaan semula dan pembaharuan bandar untuk mempertingkat kesejahteraan komuniti serta kualiti hidup rakyat di negara ini.
Menurut beliau, penyertaan pertama Malaysia dalam sidang kemuncak berkenaan membuktikan komitmen kerajaan untuk membina perumahan yang bukan sahaja mampu milik, tetapi juga selamat, lestari dan berdaya huni untuk masa depan rakyat.
Sidang kemuncak empat hari yang berlangsung dari 4 hingga 7 November 2025 itu dianjurkan oleh Biro Perumahan Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong bersama Pihak Berkuasa Perumahan Hong Kong dengan penyertaan pakar dan pemimpin industri perumahan dari seluruh dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












