Laporan dakwa elemen asing terlibat panjangkan perang di Sudan
KUALA LUMPUR = Satu laporan yang disediakan Angkatan Tentera Sudan mendakwa rangkaian logistik, kewangan dan ketenteraan asing terlibat dalam memanjangkan perang di Sudan sejak April 2023.
Laporan itu yang diedarkan melalui Kedutaan Sudan di Malaysia itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas Khartoum untuk menjelaskan apa yang disifatkannya sebagai campur tangan luar yang menjejaskan kedaulatan, kestabilan dan keutuhan wilayah Sudan.
Laporan itu antara lain mendakwa, elemen asing tersebut terlibat dalam memperkukuh kedudukan Pasukan Sokongan Pantas (Rapid Support Forces, RSF), kumpulan separa tentera yang bertempur dengan Angkatan Tentera Sudan sejak April 2023.
RSF ialah pasukan separa tentera yang berpengaruh dan dipimpin oleh Mohamed Hamdan Dagalo, yang lebih dikenali sebagai Hemedti.
Kumpulan itu muncul daripada formasi bersenjata yang berkait dengan konflik terdahulu di Darfur sebelum menjadi antara aktor keselamatan paling berpengaruh di Sudan selepas kejatuhan bekas presiden, Omar al-Bashir.
Ketegangan antara RSF dan Angkatan Tentera Sudan memuncak sehingga menjadi perang berskala penuh pada April 2023, sekali gus mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan paling serius di dunia.
Konflik itu telah memusnahkan sebahagian besar Sudan, menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal dan menimbulkan kebimbangan antarabangsa mengenai keruntuhan institusi negara, perlindungan orang awam serta akses bantuan kemanusiaan.
Laporan itu turt mendakwa, Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberikan sokongan berterusan kepada RSF sebelum dan selepas tercetusnya perang.
Dakwaan yang tidak dapat disahkan secara bebas itu merangkumi bekalan ketenteraan, kemudahan logistik, sokongan kewangan, sokongan politik serta usaha media untuk memperbaiki imej RSF di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa.
UAE berulang kali menafikan menyokong mana-mana pihak dalam perang Sudan dan menegaskan bahawa ia menyokong usaha diplomatik serta kemanusiaan bagi menamatkan konflik tersebut.
Menurut laporan itu, sokongan kepada RSF disalurkan melalui beberapa laluan serantau, termasuk koridor darat yang merentasi negara jiran, khususnya Chad dan Republik Afrika Tengah.
Ia turut mendakwa bahawa pesawat kargo awam, landasan pendaratan sementara dan pusat transit di negara berhampiran digunakan untuk memindahkan senjata, peluru, dron, bahan api dan peralatan ketenteraan ke Sudan.
Laporan itu seterusnya mendakwa bahawa timur Libya menjadi hab logistik utama bagi RSF, khususnya kawasan sekitar Kufra, di mana pejuang, kenderaan tempur, peluru dan bekalan ketenteraan lain didakwa dikumpulkan sebelum dipindahkan melalui Chad ke Sudan.
Pada masa yang sama, laporan tersebut turut mendakwa bahawa tentera upahan asing, termasuk warga Colombia, terlibat dalam melatih pasukan RSF dan menyediakan kepakaran dalam operasi artileri, sistem komunikasi serta peralatan peninjauan.
Di luar dimensi ketenteraan, laporan itu menuduh pihak luar berusaha mendapatkan pengaruh strategik di Sudan melalui akses kepada emas, pelabuhan dan tanah pertanian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












