Lawatan PM Pakistan buka lembaran baharu hubungan strategik Malaysia–Pakistan
PUTRAJAYA – Lawatan rasmi Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif ke Malaysia membuka lembaran baharu dalam hubungan strategik antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, lawatan rasmi selama tiga hari itu bukan sekadar memperkukuh hubungan persahabatan yang sedia terjalin, malah menjadi titik tolak kepada kerjasama strategik yang lebih mendalam dalam pelbagai bidang demi manfaat rakyat Malaysia dan Pakistan.
“Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh persahabatan dua negara, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik demi kesejahteraan rakyat Malaysia dan Pakistan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar meraikan ketibaan Shehbaz di Putrajaya yang disambut dengan istiadat rasmi termasuk pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja di Dataran Perdana Putra.
Selepas upacara sambutan rasmi, kedua-dua pemimpin mengetuai delegasi masing-masing dalam sesi mesyuarat dua hala serta pertemuan tertutup yang berlangsung dalam suasana mesra, terbuka dan konstruktif.
Lawatan rasmi Perdana Menteri Pakistan itu dijangka memberi tumpuan kepada perluasan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Pakistan, sejajar dengan komitmen kedua-dua negara memperkukuh hubungan dua hala di rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












