JENAYAH & MAHKAMAH

Lebih 30,000 warga asing ditahan, 2,324 salah guna pas imigresen

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) menahan seramai 30,801 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen di seluruh negara sehingga 31 Mei lalu, termasuk 2,324 individu yang dikesan menyalahgunakan pas yang diberikan kepada mereka.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, golongan terbabit didapati menjalankan aktiviti yang tidak selaras dengan tujuan asal kemasukan ke negara ini, termasuk bekerja dan berniaga tanpa kebenaran sah.

Menurutnya, JIM kini memperhebatkan penguatkuasaan terhadap warga asing yang melanggar syarat pas serta pihak majikan yang gagal mematuhi peraturan imigresen.

“Jabatan Imigresen kekal komited memastikan kemudahan imigresen yang diberikan kepada warga asing digunakan mengikut tujuan asal selain memelihara ketenteraman awam, integriti sistem imigresen dan persekitaran ekonomi yang adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi memperkukuh penguatkuasaan, beberapa langkah strategik telah diperkenalkan termasuk penubuhan inspektorat penguatkuasaan, pelaksanaan operasi berfokus di kawasan berisiko tinggi serta tindakan tegas terhadap majikan yang melanggar undang-undang imigresen.

Selain itu, operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain turut dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan yang lebih menyeluruh.

Zakaria berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing dan majikan yang melakukan kesalahan turut dijadikan sebahagian daripada petunjuk prestasi utama (KPI) tahunan jabatan.

Menurutnya, langkah itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang negara dan memperkukuhkan keberkesanan penguatkuasaan.

“Jabatan akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan serta memperkukuh kerjasama dengan kementerian, agensi penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kesalahan berkaitan imigresen dapat ditangani dengan lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button