BERITA SEMASA

Legenda bola sepak Terengganu, Zulharisam Awang meninggal dunia

KUALA TERENGGANU – Legenda bola sepak Terengganu, Zulharisam Awang 51, menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi kerana menghidap kanser hati.

Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Zulkifli
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim menziarahi Zulharisam Awang yang bertarung dengan penyakit kanser hati.

“Dukacita dimaklumkan saudara Zulharisam Awang telah meninggal dunia baru sekejap tadi.

“Takziah diucapkan buat semua ahli keluarga Almarhum. Semoga semuanya tabah dan bersabar atas pemergian Almarhum.

“Didoakan agar Allah SWT mengurniakan keampunan dan kerahmatan buat Almarhum,” katanya.

Zulharisam
Zulharisam Awang ketika menjulang Piala Malaysia selepas mengalahkan Perak pada 2001.

Allahyarham yang bertugas di Pusat Sukan UniSZA merupakan seorang jurulatih universiti yang aktif di Liga IPT dan juga liga-liga tempatan.

Pertahanan kental era 1990 an ini adalah kapten pasukan Terengganu yang menjulang Piala Malaysia 2001, selepas mengalahkan Perak 2–1 dalam aksi akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Di samping Piala Malaysia 2001, beliau turut bergelar juara Piala FA 2000, Kejuaraan Divisyen Dua 1998 dan Piala Sumbangsih 2001 bersama Terengganu.

Zulharisam
Zulharisam Awang dikejarkan ke hospital petang tadi selepas kadar oksigennya menurun.

Antara barisan rakan seperjuangan beliau ketika era tersebut ialah Hairuddin Omar, Sapian Wahid, Rosdi Talib, Wan Rohaimi Wan Ismail, Subri Sulong, Marzuki Yusof, Faziallah Mamat, Nafuzi Zain dan ramai lagi.


SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button