BERITA SEMASA

Lelaki ditahan sebar video palsu dakwa Zara Qairina dibunuh

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun selepas disyaki menyebarkan maklumat palsu menerusi video di TikTok yang mendakwa kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebagai pembunuhan terancang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihaknya mengesan video dimuat naik oleh akaun TikTok @berjuanguntukzara bertajuk “Pendedahan Penemuan Bukti Bedah Siasat Zara”.

“Video berdurasi dua minit enam saat itu mengandungi audio perbualan yang kononnya berkaitan hasil bedah siasat dan mendakwa kematian pelajar berkenaan sebagai pembunuhan terancang.

“Susulan itu, polis menahan lelaki terbabit semalam pada pukul 10.20 malam dan merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, permohonan reman terhadap suspek telah dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 Ogos.

Kes berkenaan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

M Kumar berkata, keputusan untuk mengadakan inkues kematian Zara Qairina telah dimuktamadkan oleh Jabatan Peguam Negara pada Rabu lalu.

“PDRM memberi amaran tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan khabar angin atau memanipulasi fakta sehingga menimbulkan ketakutan awam atau mengganggu prosiding mahkamah.

“Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai maklumat di media sosial tanpa menentusahkan kesahihannya,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional dan mengelak daripada membuat spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button