Lima cedera dalam insiden tikaman di Stesen Penn, AS
NEW YORK – Lima orang awam cedera, termasuk seorang parah, dalam satu insiden tikaman yang berlaku di Stesen Penn, salah satu hab pengangkutan paling sibuk di Amerika Syarikat (AS), pada Ahad.
Jabatan Bomba New York (FDNY) memaklumkan semua mangsa telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala suspek berjaya ditahan sejurus selepas kejadian.
Menurut FDNY, seorang mangsa mengalami kecederaan parah, dua lagi cedera sederhana parah manakala dua mangsa lain mengalami kecederaan ringan.
“Suspek berada dalam tahanan dan operasi masih diteruskan,” menurut kenyataan ringkas agensi itu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa belum mendedahkan motif serangan atau keadaan yang mencetuskan insiden berkenaan.
Kejadian itu berlaku ketika bandar raya New York sedang memperketatkan kawalan keselamatan menjelang dua acara sukan utama antarabangsa yang bakal berlangsung minggu ini.
Arena Madison Square Garden yang terletak di atas Stesen Penn dijadual menjadi tuan rumah perlawanan ketiga dan keempat Final NBA pada Isnin dan Rabu.
Pada masa sama, MetLife Stadium di negeri jiran New Jersey akan menjadi lokasi perlawanan pembukaan kejohanan FIFA World Cup pada Sabtu ini.
Sementara itu, Donald Trump dijadual menghadiri perlawanan Final NBA selepas memaklumkan beliau menerima jemputan daripada pemilik pasukan New York Knicks, James Dolan.
Sistem pemberitahuan kecemasan rasmi New York menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan kawasan sekitar stesen berkenaan kerana operasi keselamatan dan siasatan masih dijalankan, selain menjangkakan kesesakan lalu lintas, penutupan jalan serta gangguan perkhidmatan pengangkutan awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












