BERITA SEMASA

Malaysia kekal rakan dipercayai Russia di rantau Asia-Pasifik

MOSCOW – Malaysia terus dianggap sebagai rakan dipercayai Russia di rantau Asia-Pasifik apabila kedua-dua negara mengekalkan hubungan diplomatik serta kerjasama strategik yang kukuh dalam pelbagai bidang.

Pembantu Presiden Russia, Yuri Ushakov berkata, dialog politik antara Russia dan Malaysia berlangsung secara konsisten serta melibatkan pelbagai saluran termasuk Parlimen, kementerian, wilayah dan pertubuhan awam.

“Malaysia ialah rakan dipercayai Russia di rantau Asia-Pasifik. Russia dan Malaysia mengekalkan dialog politik yang tetap dan substantif,” memetik laporan Sputnik/RIA Novosti.

Menurut Ushakov, kedua-dua negara turut mengekalkan hubungan perdagangan dan ekonomi yang stabil menerusi kerjasama di bawah suruhanjaya antara kerajaan.

Katanya, Russia mengeksport minyak dan produk petroleum, bahan kimia, logam, produk makanan serta bahan mentah pertanian ke Malaysia.

Sebaliknya, Russia mengimport jentera, peralatan, kenderaan, produk makanan dan produk industri kimia dari Malaysia.

Beliau berkata, ketika ini seramai 566 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di Russia, khususnya dalam bidang perubatan.

“Sepanjang sedekad lalu, universiti di Russia telah melatih kira-kira 7,000 tenaga pakar dari Malaysia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ushakov memaklumkan Malaysia turut menjadi destinasi pilihan rakyat Russia apabila kira-kira 140,000 pelancong dari negara itu mengunjungi Malaysia sepanjang tahun 2025.

Beliau turut menyentuh hubungan Russia dengan Laos yang disifatkan sebagai antara rakan lama dan dipercayai Moscow.

Katanya, Presiden Laos, Thongloun Sisoulith mempunyai hubungan rapat dengan Russia selepas pernah menerima pendidikan di Leningrad selain fasih berbahasa Russia.

Menurut Ushakov, Laos turut mengambil pendirian seimbang dalam isu konflik Ukraine dan menunjukkan kefahaman terhadap operasi ketenteraan khas Russia.

“Laos juga menyokong kebanyakan inisiatif Russia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta tidak menyertai resolusi anti-Russia yang dianggap bersifat konfrontasi.

“Russia turut bekerjasama secara aktif dengan Laos dan Malaysia dalam rangka perkongsian strategik Russia bersama ASEAN,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button