Malaysia komited perkasa keupayaan ASEAN tangani bencana, krisis kemanusiaan
PHNOM PENH – Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh keupayaan kolektif negara serantau dalam pengurusan bencana dan tindak balas kemanusiaan berpandukan prinsip ‘One ASEAN, One Response.’
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia bertekad memastikan kerjasama di antara negara ASEAN menjadi lebih pantas, terselaras dan berkesan dalam menghadapi sebarang krisis kemanusiaan.
Katanya, tindakan pantas dan penyelarasan negara-negara anggota ASEAN dalam menangani bencana gempa bumi di Myanmar awal tahun ini menjadi bukti semangat perpaduan dan keberkesanan kerangka Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindakan Kecemasan (AADMER).
“Malaysia yakin semangat ini perlu terus diperkukuh supaya tiada negara anggota berhadapan dengan bencana secara bersendirian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid kini berada di Phnom Penh sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-13 dan Persidangan Pihak-Pihak kepada AADMER (COP-AADMER) ke-14.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Zahid turut mengumumkan sumbangan sekali bayar sebanyak AS$100,000 kepada Tabung Pengurusan Bencana dan Bantuan Kecemasan ASEAN (ADMER Fund) sebagai tanda solidariti Malaysia dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan tindak balas bencana serantau.
Sumbangan itu, katanya, mencerminkan komitmen berterusan Malaysia terhadap agenda ketahanan kolektif ASEAN serta menyokong peranan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre) dalam memastikan bantuan kemanusiaan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan.
“Malaysia juga mahu melihat ASEAN menerajui kepimpinan global dalam bidang ketahanan bencana dengan pendekatan yang inovatif, inklusif dan berteraskan rakyat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












