BERITA SEMASAPMX

Sidang Kemuncak ASEAN: Cerminan keupayaan digital, kepercayaan siber Malaysia di mata dunia

KETIKA Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 tahun ini, tumpuan bukan hanya terarah kepada perbincangan geopolitik serantau atau pelan integrasi ekonomi tetapi turut memperlihatkan satu aspek yang semakin menjadi tunjang kekuatan negara iaitu keupayaan digital dan keselamatan siber.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, penganjuran sidang kali ini membuka ruang untuk dunia menyaksikan sendiri kematangan Malaysia dalam mendukung agenda transformasi digital ASEAN.

MCMC berjaya memainkan peranan secara proaktif dan konsisten dalam usaha meningkatkan transformasi digital negara.

“Peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sangat proaktif dan konsisten dalam memastikan capaian internet bukan sekadar stabil, malah mencapai tahap tertinggi mengikut garis transformasi digital yang ditetapkan,” ujarnya kepada Malaysia Tribune.

Dari infrastruktur ke keyakinan pelabur

Menurut beliau, kejayaan Malaysia dalam aspek keterhubungan digital bukan lagi sekadar angka atas kertas.

“Lihat sahaja pengiktirafan tertinggi oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) terhadap inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada tahun 2023.

“Ini bukti kukuh betapa seriusnya usaha kita membina infrastruktur digital yang menyeluruh dan mampan,” katanya.

Inisiatif JENDELA menunjukkan Malaysia serius membina infrastruktur digital yang menyeluruh dan mampan.

Namun capaian internet yang laju dan stabil hanya satu bahagian daripada gambaran besar.

Di tengah-tengah sidang antarabangsa seperti ini, kestabilan digital perlu disokong dengan keselamatan siber yang kukuh, elemen yang tidak kurang pentingnya.

“Dalam hal ini, usaha berterusan agensi seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia memainkan peranan utama dalam memastikan data dan komunikasi negara, termasuk tetamu antarabangsa berada dalam kawalan optimum,” jelasnya.

Siraj menegaskan gergasi teknologi dunia seperti AWS dan Microsoft tidak akan melabur di Malaysia jika mereka tiada keyakinan terhadap aspek keselamatan siber negara.

Siraj menyatakan bahawa reputasi Malaysia sebagai negara yang boleh dipercayai menjadi faktor utama yang menarik minat pemain global.

“Apabila kita berbicara soal pelaburan digital, kita tak boleh asingkan faktor kepercayaan.

“Gergasi teknologi dunia seperti Amazon Web Services (AWS) dan Microsoft tidak akan melabur di Malaysia sekiranya mereka tidak ada keyakinan terhadap aspek keselamatan siber negara kita.

“Rakyat kita baik dan budaya kita mencerminkan nilai kepercayaan tinggi. Data bukan seperti barang dagangan biasa, ia memerlukan keyakinan tinggi untuk disimpan dan diproses di luar negara asalnya,” tegas beliau.

Microsoft merupakan salah satu syarikat gergasi teknologi dunia yang membuat pelaburan besar di Malaysia.

ASEAN dan diplomasi digital

Lebih jauh dari aspek teknikal, Siraj turut menyorot peranan diplomasi digital Malaysia dalam landskap geopolitik serantau yang semakin mencabar.

Ujarnya, dalam ketegangan kuasa antara blok Timur dan Barat iaitu China dan Amerika Syarikat (AS), negara-negara berkecuali seperti Malaysia menjadi lokasi strategik yang dilihat ‘tenang’ dan stabil untuk pertumbuhan teknologi.

“Perang digital kini bukan sekadar isu siber atau sekuriti data, ia sebahagian daripada konflik geopolitik global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai tanggungjawab penting membawa Malaysia sebagai medium perdamaian di tengah gelombang kuasa besar dunia. 

“Malaysia memainkan peranan penting sebagai pengimbang iaitu medium damai di tengah gelombang besar dunia,” katanya sambil merujuk kepada usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganjurkan dialog ASEAN-AS sebagai satu langkah berani dan strategik.

Lebih penting, tambahnya, Sidang Kemuncak ASEAN kali ini juga mengangkat Malaysia sebagai salah satu nod utama dalam rantaian teknologi global, khususnya dalam sektor semikonduktor iaitu komponen penting dalam ekosistem digital dunia.

Harapan masa depan digital ASEAN

Bagi Siraj, kejayaan penganjuran sidang ini bukan sekadar berkisar pada Malaysia sebagai tuan rumah, tetapi pada bagaimana negara ini memimpin dengan teladan dengan menunjukkan bahawa transformasi digital bukan hanya mengenai teknologi, tetapi juga soal kepercayaan, keselamatan dan keterangkuman.

“Dua perkara ini iaitu kestabilan capaian internet dan keselamatan siber adalah tunjang utama ekonomi digital.

Kestabilan capaian internet dan keselamatan siber adalah tunjang utama dalam memperkasa ekonomi digital.

“Ia perlu dilindungi dan terus diperkukuh agar kita tidak tersasar daripada landasan transformasi yang kita sendiri laungkan,” ungkap beliau.

BACA : Deklarasi Kuala Lumpur perlu realistik, imbangi pengaruh kuasa besar dan perkukuh peranan ASEAN

Dengan matlamat menjadikan ASEAN sebagai blok digital yang kompetitif dan aman, Malaysia telah pun meletakkan asas yang kukuh.

Kini, dunia hanya perlu melihat dan belajar bagaimana kepercayaan digital dibina dan bagaimana ia diterjemah menjadi kekuatan strategik sebuah negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button