Malaysia terus rundingan dengan AS hingga 1 Ogos – Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan meneruskan rundingan perdagangan bersama Amerika Syarikat (AS) sehingga 1 Ogos depan bagi menyelesaikan isu-isu tertunggak melibatkan pelbagai sektor.
Menterinya Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, rundingan yang dijalankan merangkumi sektor industri seperti jentera dan peralatan, produk kimia dan berasaskan kimia, peranti perubatan, besi dan keluli, aluminium, plastik, automotif serta sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Menurutnya, bagi sektor pertanian pula, perbincangan memberi tumpuan kepada produk seperti buah-buahan, bijirin dan beras, ayam daging hidup dan telur, daging, susu serta produk tenusu, selain alkohol.
“Dalam rundingan ini, turut disentuh ialah isu dakwaan halangan bukan tarif termasuk berkaitan pensijilan halal. Ia menjadi antara perkara yang sedang dibincangkan secara aktif antara kedua-dua pihak,” katanya dalam sidang media berhubung tarif timbal balas AS, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, pendekatan Malaysia dalam rundingan tersebut dibuat secara pragmatik, dengan mengambil kira keperluan melindungi kesihatan awam serta prinsip timbal balik antara negara.
Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk memperbaiki beberapa aspek penting, termasuk penerimaan terhadap pensijilan kawal selia pihak AS bagi produk makanan tertentu, bagi memudahkan perdagangan dua hala.
Mengenai isu berkaitan alam sekitar dan buruh, Malaysia komited untuk meningkatkan tahap perlindungan seiring dengan komitmen global serta mematuhi piawaian buruh antarabangsa.
“Bagi aspek perdagangan digital, Malaysia komited mempermudah proses pendigitalan perdagangan dan menggalakkan aliran data rentas sempadan yang selamat sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.
“Pendekatan ini bersifat tidak mendiskriminasi, namun tetap mengekalkan hak kedaulatan negara dalam mengawal selia aspek-aspek berkaitan kepentingan awam dan keselamatan,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, pendekatan yang diambil Malaysia dalam rundingan dengan AS sejajar dengan prinsip Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan konsisten dengan komitmen negara di bawah pelbagai perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang sedia ada.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












