Jenazah mangsa ketiga tanah runtuh berjaya dikeluarkan selepas 11 jam operasi menyelamat
PAPAR – Mangsa ketiga tragedi tanah runtuh di kediamannya di Kampung Marahang Tuntul, Gana, di sini, semalam, akhirnya ditemui.
Kemiey Asphereynda Benny, 10, dijumpai pada jam 8.45 malam tadi sebelum dapat dikeluarkan jam 1.48 pagi ini selepas 11 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
Dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Terdahulu, ibunya Wong Moi Ling, 34, dan adiknya, Christen Kell Benny, 6, yang turut terimbus ditemui lebih awal iaitu masing-masing pada jam 4.20 petang dan 4.25 petang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.20 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati tanah runtuh menghempap sebuah rumah dengan tiga mangsa dilaporkan tertimbus. Mangsa pertama ditemui jam 4.20 petang.
“Seterusnya mangsa kedua lima minit kemudian, manakala mangsa ketiga ditemui pada jam 8.45 malam sebelum berjaya dikeluarkan jam 1.48 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Pisar berkata, operasi mengeluarkan mangsa dijalankan oleh pasukan bomba dengan bantuan agensi penyelamat lain, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela.
“Semua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.05 pagi.
Dalam kejadian jam 9.20 pagi semalam, rumah keluarga berkenaan ranap ditimpa tanah runtuh menyebabkan tiga beranak itu tertimbus di bawah runtuhan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












