JENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Malaysia tahan 22 warga asing bersama 60 liter air ketum

LUMUT – Sebanyak 22 orang warga asing ditahan dengan pelbagai kesalahan termasuk memiliki 60 liter air ketum dalam operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ke atas sebuah bot nelayan berhampiran Pulau Jarak, kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup dalam satu kenyataan berkata, bot pukat jerut kelas C itu ditahan di kedudukan 0.98 batu nautika tenggara Pulau Jarak kira-kira pukul 10.40 pagi, Jumaat.

“Bot terbabit dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan ketika KM Tugau melakukan rondaan rutin menerusi Op Sayong, Op Tanjung dan Op Tiris di sekitar perairan Perak.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang tekong warga Thailand bersama empat kru warga Thailand dan 17 kru warga Kemboja berumur lingkungan 24 hingga 57 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Bagaimanapun kata Mohd Hambali, tekong terbabit gagal mengemukakan dokumen kelulusan penggunaan peralatan komunikasi serta beroperasi kurang dari 15 batu nautika dari daratan.

Pemeriksaan lanjut turut menemukan kira-kira 60 liter cecair disyaki air ketum dan anggaran 200 kilogram ikan campur di atas bot berkenaan.

Mohd Hambali berkata kes disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana tidak mempunyai kelulusan penggunaaan radar dan peranti serta Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi kurang dari 15 batu nautika.

“Selain itu, kes turut disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan terbabit.

“Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata kesemua nelayan yang ditahan serta bot, hasil tangkapan, peralatan menangkap ikan dan cecair disyaki air ketum yang dirampas diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button