BERITA SEMASA

Maut dihempap treler: Keluarga reda, Aidiladha pertemuan terakhir

BENTONG – Keluarga salah seorang daripada empat mangsa yang maut dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan lori treler di Kilometer 43, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Bentong semalam reda dengan apa yang berlaku.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang semalam, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai A Halim Hasoon, 55, isterinya, Rozita Buang, 58 , anak perempuan mereka, Norbahyah A Halim, 26, serta cucu perempuan mereka, Nayla Afya Aizat Faizal yang berusia setahun lima bulan.

“Kami reda dan menganggap semuanya sudah sampai ajal mereka,” kata Suzana Shafii, 55, iaitu kakak ipar kepada Rozita.

Menurut Suzana, kehilangan empat ahli keluarga serentak amat mengejutkan dan menyedihkan, namun mereka menerima ketentuan Allah SWT dengan hati yang reda.

Tambah beliau, kesemua mangsa menetap di FELDA Mempaga 1, Bentong dan mempunyai hubungan yang rapat dengan ahli keluarga lain.

“Mereka memang rapat dengan semua ahli keluarga. Kali terakhir kami bertemu adalah ketika sambutan Aidiladha baru-baru ini.

BACA JUGA:

4 maut, treler hempap kereta di Bentong

“Kami tidak sempat berhubung dengan mereka sebelum kejadian berlaku. Sudah tentu kami terkejut dan sedih apabila menerima berita tragedi ini,” katanya memetik laporan Metro Online.

Beliau berkata, Halim bekerja sebagai pemandu lori, manakala Norbahiyah dan Rozita adalah suri rumah.

Katanya, suami isteri itu turut meninggalkan dua lagi anak yang masih hidup, masing-masing seorang lelaki dan seorang perempuan berusia 20-an.

Jenazah keempat-empat mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mempaga 1 selepas selesai urusan bedah siasat di Sultan Haji Ahmad Shah Hospital, Temerloh.

Terdahulu, empat mangsa terbabit disahkan meninggal dunia selepas kereta yang mereka naiki dihempap sebuah lori treler membawa muatan habuk besi yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik di lokasi kejadian pada pukul 4.30 petang semalam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button