MFL umum pindaan jadual Liga Super 2025-2026
KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) mengumumkan beberapa pindaan jadual perlawanan Liga Super 2025-2026 selepas meneliti permohonan kelab-kelab yang berdepan isu venue dan kekangan logistik.
MFL dalam kenyataannya memaklumkan pindaan pertama melibatkan pertemuan Melaka FC menentang DPMM FC yang asalnya dijadualkan pada 28 Ogos ini ditunda ke 30 September.
Perubahan itu dibuat atas permohonan Melaka FC kerana venue asal digunakan bagi penganjuran AFC Women’s Championship League 2025/26.
“Perlawanan Kelantan The Real Warriors FC (TRW) menentang Penang FC yang asalnya dijadualkan pada 28 Ogos ini turut dipinda kepada 30 Ogos.
“Lokasi asal di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV juga ditukar ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang selepas stadium tersebut digunakan untuk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan dan Majlis Istiadat Pemeriksaan Kehormatan sempena Hari Keputeraan KDYMM Sultan Kelantan Muhammad V ke-56,” kata kenyataan itu hari ini.
Susulan pertukaran itu, Penang FC akan menjadi pasukan tuan rumah.
MFL turut berkata, aksi timbal balik pada 31 Januari 2026, perlawanan Penang FC menentang Kelantan TRW yang sepatutnya berlangsung di Stadium Bandaraya akan dipindahkan ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV dengan Kelantan TRW mengambil alih status pasukan tuan rumah.
“Perlawanan Negeri Sembilan FC menentang Kuching City FC yang dijadualkan pada 28 Ogos ini pula akan berlangsung sehari kemudian iaitu pada 29 Ogos selepas Kuching City FC memohon pindaan berikutan kekangan logistik,” katanya lagi.
Sementara itu, pertemuan DPMM FC menentang Kuala Lumpur City FC yang asalnya dijadualkan pada 20 September ini akan dianjak ke 22 September selepas DPMM FC memohon perubahan tarikh berikutan majlis rasmi di Negara Brunei Darussalam.
MFL memaklumkan, jadual terkini Liga Super 2025-2026 boleh dimuat turun melalui laman web rasmi badan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












