BERITA SEMASA

Miha diumum calon BN DUN Lamag

KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan berbeza bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag apabila mengumumkan calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha sebagai calon langsung. 

Memetik laporan Sinar Harian, Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, BN Sabah memilih pendekatan calon perpaduan dalam menentukan calon bagi PRK DUN Lamag.

“Pendekatan ini selari dengan prinsip tadbir urus politik yang menekankan pengurangan konflik, pembinaan konsensus serta kestabilan sebagai asas kepada pentadbiran dan pembangunan jangka panjang negeri.

“Berteraskan pertimbangan tersebut, BN Sabah akan mencalonkan Mohd Ismail Ayob sebagai calon perpaduan melalui kapasiti keahlian terus (direct membership) BN,” katanya ketika berucap pada majlis bersama media di Bangunan UMNO Sabah di sini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, pencalonan itu adalah strategi politik berasaskan institusi bagi memperkukuh kerjasama yang lebih menyeluruh, merapatkan jurang politik serta memastikan kesinambungan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan tanpa gangguan ketidaktentuan politik.

Jafry turut mengakui langkah tersebut juga merupakan usaha untuk meredakan suhu politik di negeri ini.

“Sebab kita baru selesai politik, terlampau sengit, menimbulkan banyak permusuhan dan sebagainya. Bagi saya, kita ambil jalan tengah untuk memastikan dan mungkin rakyat dapat lihat, dapat kita bantu.

“Mesejnya adalah untuk memastikan DUN Lamag tidak terpinggir daripada arus pembangunan. Malah pemilihan mereka sebagai calon muda, seperti yang dimaklumi pada PRN17 lalu, pengundi muda adalah segmen yang amat besar.

“Jadi berdasarkan itu, kita juga ingin menyediakan pelapis untuk menghadapi masa depan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pemilihan calon berkenaan menandakan autonomi UMNO Sabah terus dilaksanakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button