Mohd Rosli dilantik Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang baharu
PUTRAJAYA – Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang baharu berkuatkuasa semalam.
Menurut Maritim Malaysia dalam satu kenyataan, sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia, beliau
merupakan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia.
“Berpengalaman hampir tiga dekad dalam bidang keselamatan maritim, beliau memiliki kepakaran dalam merancang pelaksanaan operasi maritim khususnya dalam menangani isu jenayah rentas sempadan seperti kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan dadah dan kontraban serta
rompakan di laut.
“Antara kejayaan terbesar di bawah kendalian beliau ialah Ops Pelantar Merah yang menghasilkan tangkapan berprofil tinggi sekaligus mengurangkan kadar jenayah di sekitar pelantar minyak di perairan negara,” katanya.
Terbaharu beliau sedang mengetuai perancangan bagi membangunkan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di perairan Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung dalam usaha meningkatkan kebolehcapaian radar bagi mengawasi semua jenis pergerakan bot atau kapal mencurigakan di perairan negara khususnya di Laut China Selatan.
Merupakan seorang yang komited dalam menjalankan tugas yang diberikan, beliau pernah menyandang pelbagai jawatan penting di Maritim Malaysia termasuk Pengarah Maritim Negeri Selangor, Pengarah Perisikan Maritim Malaysia, Pengarah Perancangan Strategik Maritim Malaysia, Pengarah Maritim negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan serta Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












