BERITA SEMASA

Muat naik kandungan palsu, jelik: 8 lagi individu diambil keterangan

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam keterangan lapan individu kerana memuat naik kandungan bersifat palsu dan jelik terhadap insititusi diraja khususnya Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, kandungan itu didapati boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat serta boleh membangkitkan kebencian dan persendaan kepada institusi diraja.

“Berdasarkan laporan yang dibuat, pasukan penyiasat MCMC membuka kertas siasatan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], dan telah mengambil tindakan merakam keterangan individu-individu yang terlibat melalui lapan operasi pemeriksaan di enam buah negeri (Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis dan Pahang), kelmarin.

“Melalui operasi yang dijalankan, lapan unit telefon pintar dan lapan unit kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.

Sesi rakaman percakapan ke atas suspek-suspek. Kredit foto MCMC

Dalam pada itu katanya, analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] (sebelum pindaan) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai adalah diingatkan untuk mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa memuat naik sebarang kandungan di media sosial dan perkhidmatan pesanan internet.

“Dan tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan berunsur palsu dan kebencian, yang bertentangan dengan nilai dan norma budaya masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button