POLITIK

Muhyiddin selar Speaker Dewan Rakyat tidak isytihar kekosongan 6 kerusi Parlimen

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang tidak mengisytiharkan berlaku kekosongan kerusi untuk keenam-enam kerusi bekas ahli BERSATU.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, keputusan yang diberikan oleh Speaker tersebut adalah amat mengecewakan kerana dengan jelas bercanggah dengan peruntukan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan Speaker dengan memberikan alasan-alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkan Speaker telah mencemar Perlembagaan Persekutuan sedangkan beliau telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.

“Peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut,” katanya dalam atu kenyataan hari ini.

Terdahulu, BERSATU telah menerima surat bertarikh 9 Julai 2024 lewat petang semalam daripada Speaker Parlimen yang menyatakan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas ahli BERSATU.

Mengulas lanjut, katanya, dalam situasi ini, jelas bahawa enam Ahli Dewan Rakyat tersebut di sini tidak lagi menjadi ahli BERSATU berikutan dengan peruntukan peruntukan perlembagaan BERSATU.

Malah, katanaya, di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, apa-apa pentafsiran perlembagaan parti politik oleh parti tersebut adalah muktamad dan konklusif.

“Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU telah pun memutuskan bahawa enam ahli Dewan Rakyat ini adalah telah terhenti keahliannya.

“Pentafsiran BERSATU terhadap perkara ini adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan. Keputusan Speaker adalah bercanggah dengan peruntukkan undang-undang dan telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang. Hanya mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menyentuh mengenai alasan yang diberikan terhadap Ahli Parlimen Labuan, Muhyiddin berkata, Speaker memberikan alasan remeh dan enggan mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut kerana Ahli Parlimen Labuan memulakan tindakan mahkamah.

Muhyiddin berkata, Tindakan itu juga menyalahi peruntukan Perlembagaan BERSATU.

Sehubungan itu, katanya, BERSATU memutuskan untuk mengambil langkah susulan dengan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Parti BERSATU.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button