NADI MCMC dinobat juara perkhidmatan terbaik di Program MADANI Rakyat Melaka
MERLIMAU – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang merupakan inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sekali lagi membuktikan kecemerlangannya apabila dinobat sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Terbaik sempena Program MADANI Rakyat (PMR) Melaka 2025.
Anugerah berprestij tersebut disampaikan oleh Pengarah Seksyen Program Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri, Mohd Zainuddin Mohd Noor kepada Ketua Pejabat NADI MCMC, Mohd Arif Adenan.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, penganugerahan itu mengiktiraf komitmen NADI dalam melaksanakan pendekatan inklusif bagi mendekati masyarakat di seluruh negara melalui pelbagai program berbentuk digital, pendidikan dan kesejahteraan komuniti.
“Program MADANI Rakyat 2025 merupakan kesinambungan usaha NADI yang bermula di Tawau, Sabah, sebelum diteruskan ke lapan lokasi lain di seluruh Malaysia.
“Setiap siri menampilkan aktiviti unik untuk menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu katanya, antara tarikan utama di reruai NADI termasuk pameran dron, pengalaman realiti maya (VR), aktiviti robotik dan STEM melalui modul Tiny Techies serta pemeriksaan kesihatan jantung berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang menjadikan teknologi mudah difahami dan diakses oleh komuniti setempat.
“Golongan belia turut menunjukkan penyertaan aktif menerusi Kempen Internet Selamat (KIS) serta pertandingan e-Sukan NADI MADANI seperti Mobile Legends dan e-Football.
“Dalam masa sama, Perkhidmatan Pintar NADI menarik perhatian pengunjung dengan lima fokus utama iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif kerajaan bagi membantu masyarakat meningkatkan kemahiran digital dan ekonomi,” katanya.
Sementara itu katanya, sepanjang siri PMR tahun ini, lebih 10,000 ahli baharu telah berdaftar dengan NADI manakala lebih 15,000 pengunjung menyertai pelbagai aktiviti interaktif di reruai NADI di seluruh negara.
Lebih membanggakan, katanya, inisiatif NADI turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila memenangi kategori Capacity Building di World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 yang berlangsung di Geneva pada Julai lalu.
Pengiktirafan ini mengangkat NADI sebagai contoh terbaik pelaksanaan pusat maklumat komuniti di Pulau Banggi, Sabah yang berjaya memperkasa penduduk luar bandar agar tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital.
Kini, terdapat 1,099 pusat NADI di seluruh negara dengan keahlian melebihi 1.8 juta orang.
Usaha itu selaras dengan aspirasi “1 DUN 1 NADI”, yang bertujuan memperluas capaian maklumat serta memperkukuh keupayaan digital komuniti di setiap kawasan seluruh Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




