JENAYAH & MAHKAMAH

Nahas maut empat sekeluarga di Kluang, remaja 19 tahun ditahan reman

BATU PAHAT – Mahkamah Majistret hari ini mengeluarkan perintah reman selama dua hari terhadap seorang pemandu Mercedes Benz bagi membantu siasatan kes pandu melulu yang mengorbankan empat nyawa di Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang.

Majistret Mustaqim Sukarno membenarkan suspek yang juga penuntut sebuah universiti di Singapura itu direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan tempoh reman berkenaan diperlukan bagi membolehkan pihak polis melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.

Seksyen 42 (1) memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 jika sabit kesalahan.

Suspek berusia 19 tahun dipercayai individu yang memandu secara berbahaya bersama abangnya berusia 22 tahun yang memandu BMW 530e hingga menyebabkan kemalangan pada pukul 1.15 tengah hari semalam, lapor Buletin TV3.

Terdahulu suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 10.20 pagi sebelum dibawa ke kamar untuk perintah reman.

Berlaku kekecohan seketika apabila peguam suspek bertindak menghalang jurugambar merakam gambar lelaki terbabit sebaik dibawa turun dari trak polis.

Dalam kejadian itu, empat sekeluarga Semek Mat Soh, 73, anak dan menantu, Aiman Mohd Rashid, 36; Nor Azlina Abd Latip, 33, serta Nur Airish Syifa Sidek, 10, maut dalam nahas terbabit.

Kesemua mereka yang maut dilaporkan dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke Kota Tinggi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata polis meminta orang ramai mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 atau 014-365682.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button