BERITA SEMASA

Nahas trak FRU: Pemandu lori ada 6 rekod jenayah termasuk satu kes rogol

TELUK INTAN – Pemandu lori yang yang terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), di sini hari ini mempunyai enam rekod jenayah, termasuk satu kesalahan rogol.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay ketika mengesahkan perkara itu berkata, enam rekod jenayah itu adalah empat kes curi, diikuti satu bagi kes dahda dan rogol.

“Kesemua kes telah menyebabkan sabitan. Ujian air kencing yang dijalankan menunjukkan keputusan negatif.

“Walaupun terdapat dakwaan mengatakan dia mengambil ketum, tiada kesan ketum dikesan dan keputusan ujian air kencing adalah bersih,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, hari ini.

Tambahnya, suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi permohonan reman.

Ayob kemudian menambah, siasatan akan dijalankan dari semua sudut, termasuk dakwaan bahawa pemandu terbabit cuba mengelak sebuah kenderaan lain.

“Polis akan mengambil keterangan dan menyemak semua dakwaan tersebut,” katanya lagi.

Mengenai bedah siasat, Ayob berkata sehingga pukul 6 petang tadi, tiga daripada mangsa telah selesai dibedah siasat.

“Kita faham setiap proses bedah siasat mengambil masa antara dua hingga tiga jam. Kami jangka semua proses akan selesai sekitar pukul 10 malam atau 11 malam ini.

“Pihak hospital telah menugaskan tiga orang doktor untuk menjalankan bedah siasat serentak. Selesai bedah siasat, jenazah akan dimandikan di hospital.

“Solat jenazah akan dilaksanakan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, diikuti solat jenazah kedua di Unit PSP 5, Sungai Senam.

“Upacara penghormatan terakhir akan dijalankan di situ sebelum jenazah dikebumikan di tanah perkuburan masing-masing,” katanya lagi.

Mengenai lokasi pengebumian, beliau berkata dua akan dikebumikan di Kampar (Kampung Sungai Itik, Gopeng dan Kampung Orang Asli Bukit Terang), manakala tiga lagi di Ipoh (krematorium Buntong untuk anggota berbangsa India, tanah perkuburan Kepayang dan Meru Raya).

Tambahnya lagi, tiga jenazah akan dikebumikan di Taiping, iaitu di Kampung Pantai Besar Batu Kurau, Masjid Simpang dan Kampung Parit Teluk di Kuala Kurau.

“Seorang lagi akan dikebumikan di Kedah, di Masjid Tunku Abdul Rahman, Kulim,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button