BERITA SEMASA

Nilai rampasan Maritim Malaysia melebihi RM9.2 juta suku pertama 2025

PORT DICKSON – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mencatat nilai rampasan melebihi RM9.2 juta hasil darpada pelbagai kes penyeludupan dan pencerobohan sempadan maritim sepanjang tempoh Januari hingga April tahun ini.

Menurut Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah, antara kejayaan tersebut termasuk penahanan 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tangkapan melibatkan barangan kawalan serta kontraban seperti petrol, diesel, rokok, minuman keras dan tong gas LPG.

Sebahagian anggota Maritim Malaysia yang menyertai Operasi Redback 20 di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

“Seramai 17 PATI ditahan terdiri daripada lapan warga Indonesia dan sembilan warga Myanmar yang cuba keluar atau masuk melalui laluan tidak sah di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis penutupan Operasi Redback Ke-20 (OP Redback 20) yang dilaksanakan bersama Australian Border Force (ABF) dari 5 hingga 9 Mei 2025 di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

Operasi tahunan yang dimulakan sejak 2012 itu merupakan hasil kerjasama dua hala di bawah Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Malaysia dan Australia, dalam usaha memperkukuh keselamatan sempadan maritim serta membanteras jenayah seperti penyeludupan, kegiatan perikanan tidak sah (IUU) dan penyeludupan migran.

“Operasi kali ini meliputi kawasan seluas 2,860 kilometer persegi dari Kuala Sepang, Selangor hingga ke Kuala Kesang, Muar, melibatkan empat aset Maritim Malaysia iaitu KM DANGA, bot BENTENG 04, bot PERKASA 37 dan bot PENGGALANG 38,” jelasnya.

Sebanyak 122 pemeriksaan telah dijalankan ke atas kapal dagang, vesel nelayan tempatan, bot penumpang dan bot tunda sepanjang operasi tersebut.

Turut diadakan sepanjang OP Redback 20 ialah seminar khas bersama pakar antarabangsa dari Australian National Centre for Ocean Resources & Security (ANCORS) serta program mesra komuniti di Kampung Tanjung Dahan, Melaka dan Jeti Nelayan Telok Pelandok, Port Dickson.

Sebagai langkah kesedaran keselamatan di laut, Maritim Malaysia turut mengedarkan 100 jaket keselamatan kepada nelayan tempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button