Nilai semula hubungan dengan BERSATU – Ketua Pemuda PAS Selangor
KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Selangor menggesa kepimpinan PAS menilai semula hubungan dengan
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam kerangka Perikatan Nasional (PN) demi kepentingan perjuangan parti dan rakyat.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, penilaian itu perlu dibuat berdasarkan realiti politik semasa serta maslahat jangka panjang, bukan didorong emosi atau kepentingan sempit mana-mana pihak.
Menurut beliau, prestasi BERSATU dalam beberapa siri pilihan raya kebelakangan ini menunjukkan kemerosotan sokongan rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, sehingga parti itu dilihat banyak bergantung kepada kekuatan PAS untuk kelangsungan politiknya.
“Namun, dalam banyak keadaan, tuntutan kerusi dan pengaruh BERSATU dilihat tidak seimbang dengan sumbangan sebenar. Situasi ini bercanggah dengan prinsip keadilan dan keikhlasan dalam konsep tahaluf siyasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa pendakwaan serta siasatan melibatkan pimpinan utama BERSATU juga memberi kesan negatif terhadap keseluruhan PN, walaupun PAS tidak terlibat secara langsung.
“Dalam persepsi rakyat, PN dilihat sebagai satu entiti. PAS tidak seharusnya terus berperanan sebagai ‘penyelamat’ kepada parti lain sehingga mengorbankan masa depan perjuangannya sendiri,” katanya.
Mohamed Sukri berkata, kerjasama politik hanya wajar diteruskan selagi membawa maslahat, manakala penilaian atau penamatan hubungan politik merupakan sebahagian daripada proses islah dan muhasabah demi kebaikan ummah.
Beliau turut merujuk kemelut politik di Perlis sebagai satu ‘pengkhianatan’ dan ‘tikam kawan’ seterusnya dijadikan peringatan penting tentang keperluan elemen kejujuran dan kesetiaan dalam menjayakan matlamat perjuangan bersama.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Selangor menyeru kepimpinan PAS Pusat agar membuat penilaian yang tegas dan berani terhadap hubungan dengan BERSATU bagi menjaga imej serta prinsip perjuangan Islam, memperkukuh kekuatan parti dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PAS sebagai parti masa depan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












