Nga Kor Ming mohon maaf, bertemu NUJ, MMM dan Geramm bagi kukuhkan hubungan media
PUTRAJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, hubungan rapat antara media dan kerajaan menjadi asas penting dalam memastikan agenda Malaysia MADANI dapat disampaikan secara jelas dan berkesan.
Menurut Kor Ming, Kerajaan MADANI sentiasa memberi ruang kepada kebebasan media dan tidak pernah berniat mengetepikan peranan wartawan serta organisasi media dalam membina negara.
“Kerajaan MADANI komited terhadap kebebasan media. Kita tidak pernah mahu menyisihkan peranan media, malah media adalah rakan strategik dalam memastikan dasar serta inisiatif kerajaan disampaikan dengan tepat kepada rakyat.
“Jika ada perkataan saya sebelum ini yang menyinggung mana-mana pihak media, saya mohon maaf,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri sesi Kudapan Pagi bersama wakil media di sini hari ini.
Sesi berlangsung dalam suasana santai dan mesra dengan kehadiran wakil Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Majlis Media Malaysia (MMM) serta Gerakan Media Merdeka (Geramm).
Beliau berkata, semangat saling memahami dan hubungan harmoni antara KPKT dengan pengamal media penting dalam memastikan mesej pembangunan dan kebajikan rakyat dapat diterima masyarakat secara inklusif.
Sesi tersebut turut menjadi platform bertukar pandangan dan idea antara kedua-dua pihak, sekali gus memperkukuh sinergi dalam melaksanakan pelbagai agenda pembangunan negara di bawah kerangka Malaysia MADANI.
Kor Ming berkata, kerjasama erat ini akan terus diperkasakan bagi menjamin penyampaian maklumat yang lebih telus dan efektif demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












